WASHINGTON – Perang yang berlarutan lebih tiga bulan di Asia Barat berakhir selepas Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai perjanjian damai serta menamatkan operasi ketenteraan secara ‘serta-merta dan kekal’ di semua medan konflik termasuk Lubnan.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menerusi platform X memaklumkan perjanjian damai itu sudah dicapai dan majlis menandatangani perjanjian secara rasmi akan diadakan di Switzerland pada 18 Jun ini.
Presiden AS, Donald Trump, dalam satu kenyataan berkata, perjanjian dengan Republik Islam Iran kini sudah dimuktamadkan.
“Saya dengan ini memberi kebenaran penuh untuk pembukaan Selat Hormuz tanpa sebarang tol, dan pada masa sama mengarahkan sekatan laut Tentera Laut AS ditarik balik serta-merta.
“Kapal-kapal dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir,” kata Trump yang segera mengesahkan perkembangan itu menerusi kenyataannya sendiri pada Ahad sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-80.
Tidak lama kemudian, Iran mengumumkan perjanjian baharu dengan AS itu menandakan ‘pengakhiran serta-merta’ perang antara kedua-dua negara.
“Pengakhiran perang secara serta-merta dan kekal telah diisytiharkan di semua medan termasuk Lubnan,” kata Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi dalam kenyataan yang disiarkan televisyen negara itu.
Beberapa jam sebelum itu, Tehran berikrar akan bertindak balas terhadap serangan Israel ke atas kumpulan sekutunya, Hizbullah, di pinggir Beirut yang dilihat berpotensi menggagalkan usaha mencapai perjanjian berkenaan.
