Covid-19: Korea Utara isytihar menang

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengisytiharkan kemenangan dalam perang negaranya melawan koronavirus dan mengarahkan agar langkah-langkah maksimum antiepidemik, yang dilaksanakan pada Mei, ditarik balik,

Menurut laporan media, Korea Utara bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kes jangkitan yang disahkan dan dikesan.

Namun sejak 29 Julai lalu, ia melaporkan tiada kes baharu yang disyaki Covid-19, yang disifatkan pertubuhan-pertubuhan bantuan antarabangsa sebagai menggunakan keupayaan ujian yang terhad..

Kim berkata kadar rasmi kematian Korea Utara, iaitu 74 orang, adalah “keajaiban yang belum pernah berlaku sebelum ini” berbanding negara-negara lain.

Para pakar berkata jumlah kes di Korea Utara itu mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Perisytiharan kemenangan itu dibuat walaupun negara tersebut tidak menjalankan sebarang program vaksinasi yang diketahui malahan pernah menolak sumbangan berjuta dos vaksin.

Sebelum ini, Korea Utara menzahirkan kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin Covid-19, dengan media negara itu sering melaporkan insiden membabitkan individu di Amerika Syarikat dan Eropah yang mendapat kesan sampingan akibat suntikan.

Sebaliknya, negara itu menyatakan ia bergantung kepada perintah berkurung, rawatan menggunakan ubat-ubatan buatan sendiri dan apa yang disifatkan oleh  Kim sebagai “sistem sosialis canggih cara Korea”.

Related posts

Leave a Comment