Bila Bersatu menang 6 kerusi Parlimen Sabah?

MUKA depan Utusan Borneo (Sabah) hari ini terdapat dua berita politik yang menarik perhatian. Berita utamanya “Kemuka lima calon PRU15 : Bung minta setiap bahagian UMNO di Sabah segera beri senarai”.

Manakala di bahagian bawah pula ada berita bertajuk “ Bersatu Sabah akan pertahan enam kerusi Parlimen” (Rujuk laporan Media Hari Ini 11.08.2022).

Nampaknya pada peringkat ini, sudah ada pertandingan dua penjuru bagi kawasan Parlimen yang sekarang di tangan UMNO dan Bersatu. Jika ditambah dengan Pakatan Harapan (PH), maka akan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Sama ada dua, tiga atau empat penjuru, apa yang menariknya adalah pertembungan UMNO dan Bersatu, dua parti yang sama-sama membentuk kerajaan di Sabah dan Persekutuan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO memenangi tujuh kerusi Parlimen di Sabah iaitu Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran, Libaran, Kimanis, dan Kinabatangan.

Bagaimanapun ketika ini UMNO hanya ada dua kerusi – Kinabatangan dan Kimanis – selepas lima lagi anggota Parlimen UMNO yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) melakukan lompatan ke Bersatu.

Kinabatangan diwakili Bung Moktar dan Kimanis disandang Mohamad Alamin juga Timbalan Menteri Pendidikan II.

Bersatu yang tidak ada kerusi Parlimen tiba-tiba ‘menang’ enam kerusi termasuk satu lompatan wakil rakyat PKR.Justeru apakah yang mahu dipertahankan oleh Bersatu? Bila masa Bersatu memenangi kerusi itu?

Sepatutnya UMNO yang ‘mempertahankan’ bukan Bersatu.

Enam kerusi Parlimen yang jatuh ke tangan Bersatu diwakili Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Jonathan Yassin (Ranau),  Ronald Kiandee (Beluran) dan  Zakaria Edris (Libaran).

Menurut Azizah, Ketua Srikandi Bersatu, parti itu akan mempertahankan enam kerusi yang ‘dimenangi’ parti pada PRU lalu sedangkan yang menang adalah UMNO-BN dan PKR-PH.

Agak melucukan apabila kenyataannya berbunyi : “ Srikandi Bersatu Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi yang dimenangi dalam PRU14. Kita sewajarnya mempertahankan kerusi yang dimenangi,”.

Tidak selayaknya kenyataan itu dikeluarkan kerana ia cuba menutup ‘sejarah’ lompatan walaupun Senator Bersatu Razali Idris ‘membuka mulut’ untuk membahaskan Rang Undang-Undang berkaitan larangan ahli Dewan bertukar parti pada 9 Ogos lalu yang sebelum itu mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam perbahasannya, Razali berkata : “Saya harap dengan pindaan ini, sejarah lompatan yang tidak bermaruah, memalukan dihentikan dan akhirnya kita mengangkat politik yang matang dan tidak laku lagi tawar menawar apa pun sekali selepas ini,”

“Dengan sokongan ini, seharusnya tidak ada lagi mana-mana pihak menyalahkan sesiapa atau mengaitkan Ahli-ahli Parlimen dengan isu lompat parti. Cukuplah dengan menjenamakan macam-macam tuduhan, terutama Ahli Parlimen yang berpindah parti pada sebelum akta ini diwujudkan,” katanya

Sejarah tetap sejarah. UMNO khususnya Pengerusi Perhubungan, Bung Moktar tentunya tidak akan melupakan sejarah ini setelah menang tujuh tetapi yang tinggal hanya dua. Apabila UMNO hilang kuasa habis bertempiaran lari bersama kerusi.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya. Bayangkan gara-gara lompatan itu UMNO Sabah hampir lumpuh.

Maka bukanlah mudah untuk UMNO khususnya melupakan episod lompatan ini apatah lagi ada juga yang melompat itu turut mengeluarkan kenyataan yang memperkecilkan UMNO.

Bung Moktar sebelum ini berkata, BN Sabah menyasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 14 daripada keseluruhan 25 kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU15. Ini termasuk semua kerusi tradisi ditandingi BN dan UMNO pada PRU-14.

Maka, UMNO lebih berhak untuk berkata mempertahankan kerusi itu, dan eloklah yang mahu melompat lagi  melakukan sekarang sebelum RUU diwartakan atau sebelum PRU-15 dilangsungkan. Selepas ini mereka tidak boleh lagi melompat!

Related posts

Leave a Comment