Jepun catat kes baharu tertinggi

TOKYO 11 Ogos – Jepun merekodkan 250,403 kes baharu Covid-19 semalam,  kes harian tertinggi direkodkan setakat ini yang melepasi angka sebelum ini iaitu 249,830 kes yang dicatatkan pada 3 Ogos lalu.

Gelombang baharu pandemik itu, yang dicetuskan subvarian BA.5 Omicron yang amat mudah berjangkit, turut menyebabkan 251 kes kematian baharu di seluruh negara.

Menurut Kementerian Kesihatan, jumlah pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dengan gejala serius bertambah sebanyak 16 individu semalam daripada 597 pesakit pada Selasa lalu.

Angka itu jauh lebih rendah berbanding kemuncak wabak pada musim panas lalu yang merekodkan lebih 2,000 kes.

Sejumlah 20 daripada 47 wilayah merekodkan kes harian tertinggi termasuk Tokyo mencatat 34,243 kes baharu, manakala Osaka dan Aichi masing-masing mencatat 23,730 dan 18,862 kes.

Seperti beberapa negara lain, Jepun ketika ini berdepan gelombang ketujuh Covid-19 yang dikaitkan dengan penularan BA.5.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan wabak Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020.

Setakat ini, Jepun sudah merekodkan 14.88 juta kes Covid-19, dengan lebih 34,000 kematian.

Pada peringkat global pula, coronavirus menjangkiti 592,487,828 mangsa termasuk mengakibatkan 6,446,278 kematian di 228 negara dan wilayah.

Related posts

Leave a Comment