PUTRAJAYA 30 Mac – Hari-hari terakhir sebagai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mempunyai pelbagai acara yang mungkin terakhir baginya sebagai pemimpin negeri selepas disahkan meletak jawatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Sulaiman.
Pada sebelah pagi, beliau bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari mengadakan pertemuan bersama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam. Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Roslan Ahmad.
“Pertemuan ini memberi peluang kepada saya untuk berkongsikan perkembangan semasa pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka,” katanya melalui Facebooknya.
Beliau kemudiannya mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di Bilik Mesyuarat MMKN di Seri Negeri, hari ini.
“Semoga setiap agenda dan cadangan yang diusulkan pada mesyuarat ini dapat memacu kejayaan dan pembangunan Kerajaan Negeri Melaka,” katanya melalui hantaran di media sosial.
Pada sebelah petang Sulaiman dan isteri, Datin Seri Utama Hajah Munira menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Mohd Ali, di Istana Melaka.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Zaidi Johari,, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Melaka.
Selain majlis berbuka puasa, jemaah juga turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, sebelum diakhiri dengan solat tarawih.…
