Kes harian 2,863, enam kematian

PUTRAJAYA 9 Ogos – Sebanyak 2,863 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam berbanding 2,728 kes pada hari sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,711,415 kes.

Pertambahan kes baharu itu membabitkan 2,861 kes tempatan dengan dua lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sehingga kini masih terdapat 43,875 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu 95.7 peratus atau 41,996 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Sebanyak 1,790 kes sedang mendapatkan rawatan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (34), Unit Rawatan Rapi (ICU) (55) dan memerlukan bantuan pernafasan (38).

Sehingga semalam, penggunaan ICU di seluruh negara sudah mencapai 62.7 peratus dan daripada jumlah itu bagi kegunaan pesakit Covid-19 ia berada di paras 14.6 peratus.

Turut dilaporkan ialah enam kes kematian termasuk seorang yang meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID)

Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan angka korban di negara ini meningkat kepada 36,032 kes dan daripada jumlah berkenaan 7,656 kes adalah individu yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Turut dilaporkan ialah 4,752 kes pulih daripada jangkitan berkenaan yang menjadikan sehingga kini sebanyak 4,631,508 kes sembuh dilaporkan sejak penularan wabak berkenaan di negara ini.

Sementara itu, Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 900 kes berbanding 749 sebelumnya.

Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mencatatkan 590 kes berbanding sebelumnya 575 kes, Sabah 245 (265), Perak 193 (245), Kedah 130 (101), Negeri Sembilan 125 (146), Johor 116 (116), Melaka 115 (101) dan Pulau Pinang 106 (201).

Manakala negeri yang merekodkan di bawah 100 kes adalah Kelantan 98 berbanding 44 kes sebelumnya, Sarawak 69 (55), Terengganu 58 (33), Pahang 42 (52), Wilayah Persekutuan Labuan 4 (6), dan Perlis 4 (9).

Related posts

Leave a Comment