Sokong usul had pengeluaran plastik

BUSAN – Lebih 100 negara menyokong usul mengehadkan pengeluaran plastik global dalam rundingan perjanjian antarabangsa bagi membendung pencemaran plastik dengan berdepan segelintir negara pengeluar minyak yang mahu perjanjian itu hanya tertumpu kepada pengurusan sisa.

Mesyuarat kelima dan terakhir Jawatankuasa Rundingan Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau INC-5, bertujuan menghasilkan perjanjian antarabangsa yang mengikat secara sah dijadualkan berakhir di sini pada hari ini.

Perjanjian yang diharapkan hasil daripada rundingan berkenaan berpotensi menjadi perjanjian paling penting berkaitan perlindungan alam sekitar serta pengurangan pelepasan karbon sejak Perjanjian Paris 2015.

Setakat ini, negara peserta masih berdepan dengan pendapat berbeza mengenai skop asas perjanjian.

Satu cadangan yang diusulkan Panama, disokong lebih 100 negara, menetapkan laluan untuk sasaran pengurangan pengeluaran plastik global, manakala cadangan lain tidak membenarkan sekatan pengeluaran secara langsung.

Sehingga semalam, beberapa perunding menyatakan terdapat negara tertentu yang masih tidak berganjak daripada tuntutan mereka.

Duta Khas Kesatuan Eropah (EU) untuk Iklim dan Alam Sekitar, Anthony Agotha, berkata lebih 100 negara menyatakan matlamat yang tinggi, namun hanya sekumpulan kecil negara yang pada dasarnya melengah-lengahkan masa dan tidak maju ke hadapan.

“Kita perlu menangani kitaran hayat plastik secara menyeluruh kerana kita tidak boleh menyelesaikan krisis terbabit hanya dengan kitar semula dan tidak boleh bergantung kepada satu cara sahaja,” katanya.

Sebilangan kecil negara pengeluar petrokimia seperti Arab Saudi dengan tegas menentang usaha menyasarkan pengeluaran plastik dan cuba menggunakan taktik prosedur untuk melengahkan rundingan.

Mengikut data Eunomia, China, Amerika Syarikat (AS), India, Korea Selatan dan Arab Saudi adalah lima negara pengeluar utama polimer pada 2023.

Dengan hanya beberapa jam berbaki untuk rundingan yang dijadualkan dan keputusan dilihat sukar dicapai, beberapa perunding dan pemerhati bimbang rundingan berkenaan mungkin gagal atau dilanjutkan ke sesi lain.

Ketua Delegasi Panama, Juan Carlos Monterrey Gomez, berkata mereka kini berada ‘di persimpangan jalan’.

“Menunda perkara ini ke mesyuarat lain akan menjadi tamparan besar bukan sahaja kepada kesihatan bumi, tetapi juga kesihatan manusia. Kita mesti menghasilkan keputusan yang meningkatkan perjuangan berkenaan,” katanya.

Pengeluaran plastik dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2050 dan mikroplastik telah ditemui di udara, hasil daripada tanaman, malah dalam susu ibu manusia.

Related posts

Leave a Comment