Objek dipercayai serpihan roket

MIRI 8 Ogos – Satu lagi objek misteri seakan-akan cabang tanduk rusa ditemukan di sebuah kawasan kebun persendirian berhampiran Rumah Panjang Ngadan di kawasan Sungai Kurong Suai, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie, berkata sepasukan anggotanya dikerahkan ke lokasi objek ditemui sejurus menerima panggilan pada pukul 2.19 petang.

Beliau berkata, ketika sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat satu objek seakan-akan tanduk rusa terbenam dalam tanah.

Katanya, selepas mengenal pasti kedudukan tepat objek ditemui, pasukan bomba bertindak memakai pakaian operasi lengkap dan menggunakan alat pernafasan bagi menjalankan pemeriksaan objek terbabit.

Pasukan bomba kemudian menemukan satu objek berwarna kelabu setinggi kira-kira 0.3 meter tertanam dari permukaan tanah.

Rary berkata, pihaknya percaya objek yang ditemui itu adalah serpihan roket Long March 5B (CZ-5B) milik China, namun akan menjalankan siasatan lanjut bagi pengesahan.

Beliau yang juga Komander Operasi turut menasihatkan penduduk rumah panjang berdekatan supaya tidak menghampiri kawasan penemuan objek berkenaan buat sementara waktu.

Katanya, operasi pemantauan dan pemeriksaan ditangguhkan sehingga menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkaitan.

Related posts

Leave a Comment