PHNOM PENH: Kemboja akan menghantar pulang pesakit cacar monyet yang telah pulih, Osmond Chihazirim Nzerem ke negara asal Nigeria serta melarangnya memasuki semula negara itu selama tiga tahun.
Menurut seorang pegawai jabatan imigresen, lelaki itu telah pulih daripada wabak berkenaan dan dibenarkan keluar dari hospital pada Sabtu.
Lelaki berusia 27 tahun itu, sebelum ini melarikan diri dari negara jiran Thailand setelah mengetahui hasil keputusan ujian cacar monyetnya positif, dan ditahan pihak berkuasa Kemboja di ibu negara Phnom Penh pada 23 Julai.
Dia kemudian dihantar ke Hospital Persahabatan Khmer-Soviet untuk menerima rawatan lanjut.
Lelaki Nigeria itu merupakan kes cacar monyet yang pertama dan satu-satunya kes import di negara Asia Tenggara itu.
