Gerakan Tanah Air tanding 120 kerusi

PUTRAJAYA 4 Ogos – Gagasan baharu,  Gerakan Tanah Air (GTA) akan bertanding di  semua 120 kerusi Parlimen majoriti Melayu di Semenanjung yang ditandingi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi penaja GTA, Dr. Mahathir Mohamad ketika mengumumkan demikian yakin mendapat sokongan masyarakat Melayu terutama UMNO yang hanya mampu menang 35 peratus daripada kerusi yang ditandingi pada PRU-14.

Katanya, sudah tiba masanya untuk pengundi Melayu mengetahui mengenai perjuangan UMNO yang disifatkannya sebagai berasaskan wang.

“Antara 65 peratus ini ada yang tidak mengundi kerana menganggap politik yang bosan dan tidak mendatangkan faedah.

“Dengan penerangan yang kita buat, dengan apa yang dilakukan gerakan ini, kita yakin ramai daripada mereka akan beri sokongan,” katanya pada sidang media khas di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Ditanya sama Gerakan Tanah Air akan bekerjasama dengan parti politik lain di luar gabungan itu, Dr Mahathir berkata, gerakan itu tidak akan terbabit dengan ‘kluster mahkamah’.

Dr Mahathir juga menjelaskan GTA bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini.

Pengerusi Parti Pejuang Negara itu berkata, gagasan itu yang akan hanya disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu.

Beliau berkata, ia bukan bermakna gerakan itu bersifat perkauman sebaliknya ia untuk memberi tumpuan melawan sebuah parti Melayu yang sudah menyeleweng ketika ini.

“Untuk lawan parti Melayu kalau bukan juga parti Melayu orang Melayu tidak akan menyokong.

“Harap akan dapat sokongan daripada rakyat bukan kerana mereka menjadi ahli parti sebaliknya mereka adalah orang Melayu yang curiga dengan masa depan mereka,” katanya.

Dr Mahathir yang juga pengerusi penaja gagasan baharu itu, berkata, asas penubuhan GTA bukan bertujuan merampas harta masyarakat bukan Melayu atau menyekat mereka daripada berusaha untuk mendapatkan kekayaan, sebaliknya ia berusaha untuk memperbetulkan ekonomi masyarakat Melayu.

Berikutan itu, katanya, gerakan itu menjemput semua orang Melayu yang bimbang dengan masa depan mereka, untuk menyertai atau menyokong gerakan itu.

Katanya, pihaknya akan mendaftarkan nama Gerakan Tanah Air dalam masa terdekat dengan nama yang dipersetujui itu.

Selain Dr Mahathir, jawatankuasa penaja turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Presiden Parti Putra, Ibrahim Ali; Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Mohammed Mosin Abdul Razak.

Timbalan Presiden Pejuang,  Marzuki Yahya, dilantik sebagai Ketua Setiausaha.

Related posts

Leave a Comment