23,000 gagal dikesan selepas perang Rusia- Ukraine

GENEVA: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dalam satu kenyataan semalam melaporkan 23,000 individu gagal dikesan selepas dua tahun perang antara Rusia  dan Ukraine tercetus.

ICRC berkata kehilangan mangsa sama ada ditahan, dibunuh atau kerana terputus hubungan selepas melarikan diri dari rumah.

Bagaimanapun ICRC tidak menyatakan sama ada mereka hilang dari Ukraine atau wilayah yang dirampas oleh Rusia  selepas Moscow menghantar tentera ke negara jiran pada 24 Februari 2022.

“Dua tahun selepas peningkatan konflik bersenjata, keperluan kemanusiaan semakin meningkat, termasuk untuk berjuta-juta orang yang kehilangan tempat tinggal, dalam dan luar sempadan kedua-dua negara.

Tidak mengetahui apa yang berlaku kepada orang yang disayangi adalah menyeksakan, dan ini adalah realiti tragis bagi puluhan ribu keluarga yang hidup dalam keadaan penderitaan yang berterusan,” kata Dusan Vujasanin, yang mengetuai Biro Agensi Pengesanan Pusat ICRC untuk konflik kumpulan bersenjata antarabangsa antara Rusia  dan Ukraine.

Menjelang akhir Januari 2024, ICRC, dengan kerjasama persatuan kebangsaan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di Ukraine, Rusia dan tempat lain, telah membantu 8,000 keluarga menerima maklumat tentang nasib atau keberadaan orang tersayang mereka yang hilang.

“Sepanjang dua tahun lepas, ICRC telah menerima lebih daripada 115,000 panggilan telefon, permintaan dalam talian, surat atau lawatan secara peribadi daripada keluarga dari Rusia dan Ukraine yang mencari saudara mereka yang hilang.

“Kami telah membantu beribu-ribu saudara yang terpisah berkomunikasi atau mengetahui lebih lanjut tentang orang yang disayangi, tetapi begitu ramai yang kekal tanpa berita. Kami bekerja setiap hari untuk membantu lebih ramai keluarga,” kata  Vujasanin.

ICRC menerima lebih 115,000 panggilan telefon, permintaan dalam talian, surat atau lawatan peribadi daripada keluarga dari Russia dan Ukraine yang mencari ahli keluarga yang hilang dalam tempoh dua tahun.

Related posts

Leave a Comment