KUALA LUMPUR 11 Okt. – Kementerian Kesihatan sedang menunggu tarikh baharu untuk pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) di Dewan Rakyat.
Menurut laporan media, seorang pegawai kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan perkara itu sambil meminta media menunggu tarikh baharu pembentangan yang akan dimaklumkan kelak.
Bacaan kali kedua RUU itu sepatutnya berlangsung petang semalam, namun ditunda kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Penangguhan itu mengundang pelbagai reaksi serta spekulasi khususnya mengenai faktor yang mendorong pembentangan RUU itu di Parlimen ditangguhkan.
Isnin lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui kenyataan memaklumkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dijadual dibentang untuk dibahaskan semalam, ditangguhkan.
Alasan diberikan untuk memberi laluan kepada aturan urusan kerajaan lain sebagaimana disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), dengan dan pembentangan RUU ini akan dibuat dalam masa terdekat.
Minggu lalu, Dr Zaliha memaklumkan, KKM menerima baik semua syor dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen berkenaan RUU berkenaan dan ia akan dibentang semula ke Dewan Rakyat untuk dibahas dan diputuskan oleh Ahli-ahli Parlimen.
Keputusan pembentangan sekali lagi itu dibuat hasil keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.
Jun lalu, Zaliha memaklumkan antara sebab RUU itu dirujuk semula ke JKPK Kesihatan berikutan gesaan badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan supaya beberapa perkara di bawah RUU itu diteliti semula.
RUU itu kali kedua dirujuk kepada JKPK Kesihatan selepas kali pertama dibentangkan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin pada Ogos tahun lalu, namun Dewan Rakyat membuat keputusan sama meminta supaya ia dirujuk kepada JKPK.
