45 peratus sisa makanan sehari

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Malaysia menjana hampir 38,000 tan metrik sisa pepejal sehari dan 45 peratus daripadanya sisa makanan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Meerican.

Beliau memberitahu , sisa makanan merangkumi dua kategori, iaitu sisa masih boleh dimakan dan tidak boleh dimakan.

Keadaan itu katanya menjadi cabaran utama bagi kementeriannya, terutama membabitkan isu rawatan sisa pepejal, khususnya sisa makanan.

Beliau memberitahu, hala tuju baharu pengurusan sisa pepejal sedang dirangka dengan kerjasama beberapa pihak.

Berdasarkan laporan Future Institute dikeluarkan Australia, sisa makanan boleh dimakan dijana di negara ini dicatatkan pada kadar lapan peratus.

“Saya rasa inisiatif pernah dibuat kerajaan terdahulu iaitu ‘food security’ ketika itu oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail boleh digunakan untuk kerjasama rentas bagi mengurangkan sisa makanan.

“Ia sekali gus menjadikan pengurusan sisa pepejal diuruskan secara lestari,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Past-Kemaman) mengenai usahasama mewujudkan teknologi pengkomposan bagi mengelak isu pembaziran pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal, Reezal Merican berkata, kementeriannya pada peringkat akhir mengemuka dasar dan hala tuju baharu pengurusan sisa pepejal negara dengan visi yang jelas.

Beliau berkata, ia bagi mempercepat peralihan daripada konsep pengurusan sisa pepejal secara ekonomi linear kepada ekonomi kitaran, seperti digariskan dalam Bab 8 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Katanya, pelaksanaan ekonomi kitaran itu berupaya meningkatkan nilai keseluruhan rantaian pengurusan sisa pepejal, termasuk sisa makanan yang akan mengurangkan penghantaran sisa ke tapak pelupusan.

Mengenai soalan tambahan Nor Azrina Surip (PKR-Merbok), beliau berkata, konsep pengurusan sisa pepejal secara ekonomi kitaran akan membentuk kitaran semula dari ‘cradle to cradle’.

Beliau berkata, sisa makanan ialah sisa organik yang boleh melalui banyak proses, antaranya menggunakan pencerna anaerobik bagi menghasilkan biogas untuk sumber elektrik, manakala residualnya boleh digunakan sebagai biobaja.

“Ketika ini tiada pelaburan (mengenainya) dan kita membuka pintu seluas-luasnya. Kita ketika ini ada dua usul yang sedang diperhalusi. Tahap kitar semula akan meningkat dan agenda sifar sisa ke tapak pelupusan dapat dilaksanakan, jika ia berlaku.

“Paling penting, kerajaan akan menurunkan perbelanjaan dan menjadikan pengurusan jauh lebih lestari,” katanya.

Related posts

Leave a Comment