Melayu paling ramai bankrap

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Dewan Rakyat diberitahu kaum Melayu mendahului kes bankrap dengan mencatatkan 10,266 kes daripada 17,559 individu sejak 2020 sehingga Mei lalu.

Ini diikuti Cina dengan 4,447 kes, India 1,321 kes, lain-lain 1,516 kes manakala 48 kes lagi melibatkan bukan warganegara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam jawapan bertulis berkata, mengikut pecahan negeri, Selangor mencatatkan jumlah kebankrapan tertinggi iaitu 4,164 kes dalam tempoh sama.

Wilayah Persekutuan dan Johor masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan jumlah 2,203 dan 1,987 kes manakala tiga negeri yang berada di kedudukan paling rendah ialah Perlis (99); Melaka (453); serta Terengganu (569).

Dalam kenyataan bertulis itu lagi, Wan Junaidi menambah daripada jumlah keseluruhan, individu berusia di antara 35 dan 44 tahun dikategorikan sebagai paling ramai muflis iaitu 6,681 orang.

Menjawab soalan Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar), beliau memberitahu kerajaan telah mengkaji undang-undang berkaitan kebankrapan melalui Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 [Akta A1534] yang berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017.

“Melalui Akta A1534, kerajaan telah memberi hak perlindungan dan jaminan kepada bankrap berdasarkan lunas undang-undang yang telah digariskan berdasarkan rujukan dan perbandingan negara-negara luar seperti United Kingdom, Singapura, New Zealand dan Hong Kong,” katanya.

Mujahid meminta penjelasan berhubung bilangan rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis sejak Januari 2020 hingga Mei lalu mengikut umur, jantina dan kaum.

Beliau turut bertanya, adakah kerajaan bercadang membuat polisi baharu bagi mengelak lebih ramai diisytihar muflis di usia muda.

Wan Junaidi berkata, Akta A1534 telah pun memperkenalkan peruntukan-peruntukan baharu bagi melindungi kepentingan penghutang dan individu bankrap.

Berikut peruntukan-peruntukan baharu tersebut:

1. Pelepasan Automatik di bawah seksyen 33C – Individu bankrap layak untuk dilepaskan secara automatik selepas tiga tahun dari tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal tertakluk kepada syarat-syarat yang telah digariskan dalam Akta Insolvensi 1967 [Akta 360];

2. Perlindungan penjamin sosial – Perlindungan mutlak diberi kepada penjamin sosial (tindakan perintah kebankrapan tidak boleh diambil) di bawah seksyen 5(3)(a) Akta 360;

3. Mekanisme Penyelamat (Voluntary Arrangement) – Kaedah dan mekanisme di bawah Bahagian I Akta 360 ini merupakan peluang terakhir bagi penghutang untuk berunding dengan pemiutang dan mengelakkan daripada perintah kebankrapan oleh Mahkamah;

4. Pelepasan tanpa bantahan pemiutang di bawah seksyen 33B(2A) – Pelepasan Melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi tanpa bantahan daripada pemiutang sekiranya bankrap berada dalam 4 kategori (penjamin sosial, Orang Kurang Upaya [OKU], bankrap telah meninggal dunia dan bankrap yang menghidap sakit serius).

Related posts

Leave a Comment