RUU Tembakau: Individu rasional wajib sokong

PUTRAJAYA 1 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 wajib disokong oleh setiap individu yang rasional, termasuk Ahli Parlimen demi masa depan generasi akan datang.

Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menegaskan ia sebagai usaha membuang tabiat tidak baik termasuk pembaziran wang, sekali gus membantu kepada kesihatan negara serta mewujudkan suasana lebih harmoni.

Beliau berkata, tembakau dan rokok adalah bahan yang merosakkan kehidupan, kesihatan diri dan harta malah turut memudaratkan orang sekeliling.

“Justeru bukan sesuatu yang pelik jika majoriti ulama Islam mengharamkan rokok dan apa sahaja yang menyerupai rokok, vape seumpamanya yang memberikan kesan yang merbahaya kepada kesihatan manusia.

“Kita menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk membentangkan akta tembakau dan dasar Generation End Game (GEG), yang berusaha untuk menamatkan daripada aktiviti tidak baik ini bagi generasi yang lahir pada 2007 dan seterusnya.

“Kita anggap usaha ini wajib disokong oleh setiap individu yang rasional, apatah lagi mereka yang berada di Parlimen demi masa depan generasi akan datang,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook hari ini.

Beliau turut mengharapkan rakyat yang mengetahui mengenai perkembangan usaha kerajaan membentangkan akta terbabit turut memberi sokongan dalam hal berkenaan.

“(Rakyat) turut berkempen supaya dapat jadikan negara kita bebas daripada tabiat tidak baik ini dalam kalangan masyarakat.

“Natijahnya bukan sahaja membazirkan wang, ia juga memusnahkan kesihatan diri, orang keliling, malah kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan yang banyak bagi rakyat yang sakit paru-paru dan seumpamanya disebabkan perbuatan merokok.

“Semoga urusan kerajaan ini dipermudahkan dan semua rakyat khususnya ahli Parlimen turut membantu kerajaan bagi merealisasikan perkara yang merentasi kepentingan individu dan parti politik, semata-mata untuk kepentingan rakyat pada masa hadapan,” katanya.

Minggu lalu RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau peranti merokok dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu juga mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Related posts

Leave a Comment