Kes harian turun, 9 kematian

PUTRAJAYA 1 Ogos – Kes jangkitan baharu Covid-19 di negara ini turun kepada  2,783 semalam  (Ahad) berbanding 4,271 kes pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,680,053.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal COVIDNOW, sembilan kes kematian baharu turut direkodkan dengan empat daripadanya adalah kematian membabitkan kes di luar fasiliti hospital atau brought-in-dead (BID).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian setakat ini sebanyak 35,969 orang.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 pula mencatatkan sebanyak 45,306 kes, dengan 43,753 atau 96.6 peratus daripadanya adalah individu dikuarantin di rumah.

Seramai 22 pesakit pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), manakala 1,477 pesakit Covid-19 ditempatkan di hospital dengan 54 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, 32 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan manakala 22 lagi memerlukan mesin ventilator.

Bagaimanapun, kes sembuh yang direkodkan pada Ahad ialah 4,482 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh dalam negara sebanyak 4,598,778 kes.

Sementara itu Selangor merekodkan kes harian tertinggi dengan 826 diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 473, Sabah 252, Perak 242, Negeri Sembilan 234, Pulau Pinang 216, Kedah 114 dan Melaka 114.

Negeri yang mencatatkan kes di bawah 100 adalah Johor 89, Wilayah Persekutuan Putrajaya 65, Sarawak 56, Pahang 38, Kelantan 32, Terengganu 18, Wilayah Persekutuan Labuan 11, dan Perlis 3.

Related posts

Leave a Comment