TEHRAN – Iran menegaskan kesediaannya untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berasaskan “saling menghormati dan kepentingan bersama”, tetapi pada masa yang sama memberi amaran, Iran kekal bersiap sedia untuk berperang.
Menteri Luar, Abbas Araghchi berkata, Iran bersedia untuk berunding – tetapi rundingan yang adil dan bermaruah dari kedudukan setara, dengan saling menghormati dan berasaskan kepentingan bersama.
Beliau berkata demikian ketika berucap kepada kumpulan diplomat asing dalam satu pertemuan yang disiarkan televisyen di Tehran, ketika negara itu memasuki minggu ketiga protes ganas.
Kenyataan itu selepas Presiden AS, Donald Trump mendakwa Iran telah “menghubungi untuk berunding”, ketika pentadbirannya menimbang pilihan ketenteraan terhadap Tehran susulan demonstrasi yang melanda negara itu.
Dalam masa sama, Araghchi memberi amaran bahawa Iran kekal bersiap sedia untuk berperang, namun menolak serangan awal.
“Kami tidak mahu perang, tetapi kami sepenuhnya bersedia – malah lebih bersedia berbanding sebelum perang yang lalu. Sebabnya jelas: cara terbaik mengelak perang ialah bersiap sedia, supaya musuh tidak sekali lagi membuat salah perkiraan.” katanya.
Untuk rekod, AS sebelum ini terlibat dalam rundingan tidak langsung dengan Iran berhubung program nuklear negara itu dengan beberapa pusingan perbincangan awal 2025 sebelum Israel melancarkan serangan mengejut berskala besar ke atas Iran.
Washington kemudian turut menyertai konflik dengan melancarkan serangan ke atas tapak nuklear utama.
Tehran menolak tuntutan pentadbiran Trump supaya menghentikan sepenuhnya pengayaan uranium dan menerima had ke atas program peluru berpandu. – Agensi
