Ribuan berdepan risiko kematian

NAIROBI – Ribuan orang berdepan risiko kematian di wilayah Kordofan Selatan, Sudan, hanya beberapa bulan selepas kejatuhan bandar El Fasher di Darfur

Ketua Majlis Pelarian Norway (NRC) Jan Egeland yang mengingatkan demikian berkata kumpulan militia sedang mengepung bandar Kadugli dan Dalang, yang juga dikenali sebagai Dilling.

Egeland dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin susulan ke wilayah itu menyifatkan ini adalah saat yang kritikal.

“Kami tahu dengan tepat ke mana arahnya jika dunia tidak mengendahkan perkara ini sekali lagi. Sejarah akan menghakimi kita jika kita membiarkan orang awam di Sudan sekali lagi berhadapan dengan keganasan dan penderitaan yang tidak berkesudahan.”, katanya.

Beliau berkata, di Kadugli  kumpulan bersenjata, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah memutuskan semua laluan bekalan ke bandar itu selama berminggu-minggu, kelaparan kini berleluasa.

Jumlah penduduk yang berada di bandar yang terkepung itu buat masa ini tidak diketahui.

Lebih 160,000 orang tinggal di dua kem pelarian di Pergunungan Nuba di Kordofan Selatan, hampir keseluruhannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, memandangkan kaum lelaki tidak dibenarkan meninggalkan bandar yang dikepung itu.

Rundingan dengan RSF untuk membawa konvoi makanan ke Kadugli telah gagal dan pihaknya sedang berlumba dengan masa memandangkan kekurangan dana dan musim hujan yang akan bermula pada Mei.

Terdapat kira-kira 12 juta pelarian di Sudan, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Bagaimanapun, nampaknya terdapat harapan untuk bandar-bandar yang terkepung itu, apabila seorang jurucakap tentera melaporkan bahawa pasukan kerajaan telah berjaya memecahkan kepungan di Kadugli dan Dalang.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment