Sambutan Hari Pahlawan 2022

PUTRAJAYA 31 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini berkenan berangkat ke istiadat perbarisan sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara, di sini.

Istiadat sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan perarakan masuk Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-panji Rejimen daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

Lagu Negaraku dimainkan dengan diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan Left Kol Mohd Asri Che Wil daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama.

Perbarisan Hari Pahlawan hari ini membabitkan 58 pegawai dan 867 anggota lain-lain pangkat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia serta 152 veteran daripada Persatuan Veteran ATM, Kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia.

Perbarisan diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) Leftenan Kolonel Muhammad Ikhwan Hussin.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan , Hishammuddin Hussein dan Menteri Dalam Negeri,  Hamzah Zainudin.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.

Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai ‘last post’ dengan menurunkan Jalur Gemilang.

Istiadat turut disajikan dengan persembahan pantomim mengenai pengorbanan pejuang negara iaitu kisah daripada peristiwa pertempuran yang berlaku di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993.

Sambutan Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai adalah antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan kali terakhir diadakan pada 2018.

Pada 2019, istiadat berkenaan tidak dapat dilaksanakan akibat keadaan jerebu teruk yang melanda negara ketika itu manakala pelaksanaan istiadat berkenaan pada 2020 dan 2021 juga tidak dapat diadakan berikutan pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment