Zahid tolak dakwaan PN

KUALA LUMPUR 31 Julai – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan dakwaan bahawa parti itu penyebab penubuhan Muafakat Nasional (MN) tertangguh, sebagai hipotesis dan fatamorgana semata-mata.

Sebaliknya, beliau menegaskan, UMNO pernah menghulurkan tangan untuk kerjasama tetapi ‘digigit’ balik menyebabkan perkara itu tidak menjadi kenyataan.

“Itu (dakwaan) hanya satu hipotesis dan fatamorgana kerana kita pernah menawarkan ‘olive branch’ (menghulurkan perdamaian) kepada kedua-duanya.

Namun, tangan kami bukan hanya ‘dikokak’ dan ‘digigit’, malah mereka melakukan sesuatu hingga hampir ‘patah tangan’… tetapi kami membina kekuatan sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Puteri Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang semalam yang dilaporkan mendakwa sikap pemimpin UMNO yang menimbulkan masalah menyebabkan penubuhan MN tertangguh hingga kini.

Pada majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Abdul Hadi mendakwa masalah dibawa UMNO itu termasuk cubaan beberapa pemimpinnya mewujudkan jajaran baharu (selain dengan PN) menyebabkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang turut dianggotai pemimpin daripada parti itu terkubur pada Ogos 2021.

Muhyiddin yang turut menghadiri majlis pelancaran itu pula dilaporkan mendakwa UMNO yang membuat keputusan menolak Bersatu dan Pas daripada menyertai MN.

Ahmad Zahid juga berkata, formula baharu untuk mewujudkan kestabilan politik selepas PRU15 itu perlu melupakan perbezaan kaum, agama dan budaya.

“Demi negara, kita mesti buta warna politik bagi menentukan kerjasama dijalin semula untuk keamanan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk BN setiap negeri dan sayapnya untuk mengadakan konvensyen sebagai persiapan menghadapi PRU15.

“Tidak perlu mengikut tradisi lama. Jika dulu, selepas bubar Parlimen baru hendak membuat persiapan dan sibuk mengadakan perjumpaan, namun tidak pada zaman kita ini. Kita sudah bersiap siaga lebih awal,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), menegaskan perlu ada formula baharu bagi mewujudkan kestabilan politik selepas PRU15.

Tanpa memperincikan lanjut formula dimaksudkan itu, beliau menekankan politik adalah amat dinamik, justeru lebih baik untuk sebarang formula atau kerjasama berkaitan dilaksanakan pasca pilihan raya berkenaan.

Sebaliknya jika kerjasama itu dilaksanakan sekarang, beliau berkata, semua parti akan menyuarakan kekuatan masing-masing.

“Politik ini sangat dinamik tetapi lebih baik kalau usaha menterjemahkan kedinamikan itu dilakukan selepas pilihan raya.

Kalau buat sekarang, masing-masing akan menyatakan diri mereka kuat walaupun tidak tahu ‘tenaga batin’ sudah kurang. Oleh itu, UMNO dan BN mahu membuktikannya dulu pada pilihan raya,” katanya

Related posts

Leave a Comment