Tiada lagi kawasan ‘simpanan tetap’

JOHOR BAHRU 29 Julai – Terdapat beberapa kawasan yang tidak lagi menjadi ‘simpanan tetap’ bagi Barisan Nasional (BN) Johor pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata  Pengerusi BN Johor,  Hasni Mohammad.

Beliau mengambil contoh seperti di Johor timur antaranya di Parlimen Pengerang, Kota Tinggi, Tenggara dan Mersing.

“Saya tidak menolak terdapat kemungkinan di sesetengah kerusi cabaran bertanding adalah lebih berbanding tempat lain. Menjelang PRU-15 ini kita tidak boleh mengambil mudah setiap kerusi yang dipertandingkan.

“Di Johor, kita tidak menggunakan pendekatan kerusi tradisi. Jadi kita kena kerja kuat di semua kerusi. Kita tidak mahu pengalaman di Mersing sebagai contoh apabila hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau (dalam PRN Johor),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Santai Kelab Media Johor (KMJ) di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Johor tidak boleh lagi menggunakan formula mengekalkan kerusi tradisi atau ‘kerusi selamat’, sekiranya BN Johor mahu menang majoriti dua pertiga.

Katanya, kemenangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebelum ini tidak akan dapat dicipta semula dalam PRU-15 jika masih menggunakan formula itu.

Hasni yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, turut membayangkan kira-kira 70 peratus muka baharu akan menjadi calon BN pada PRU 15 di Johor.

Katanya, wajar PRU15 diadakan dalam masa terdekat berasaskan perkembangan terkini dalam negara termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) 2.0 antara kerajaan dan pembangkang tidak lagi disambung dan kelulusan rang undang-berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, semalam.

Related posts

Leave a Comment