Majlis Presiden PH tuntut 3 perkara

KUALA LUMPUR 29 Julai  – Selepas Rang Undang-Undang (RUU) anti lompat parti diluluskan, Pakatan Harapan (PH) menuntut tiga lagi perkara dilaksanakan termasuk mengehadkan jawatan Perdana Menteri tidak lebih 10 tahun seperti ketetapan dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) sebelum ini.

Selain itu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob juga dituntut membentang dan meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen dan Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar sebelum Parlimen dibubarkan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama, berkata masih berbaki tiga perkara lagi perlu dilaksanakan kerajaan seperti mana termaktub dalam MoU ditandatangani antara kerajaan dan PH yang terpakai sehingga Parlimen dibubarkan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Wilfred Madius Tangau.

Sehubungan itu, katanya satu rundingan dalam kadar segera akan dicuba diadakan antara wakil PH dan kerajaan bagi membincangkan mengenai perkara yang masih berbaki dalam MoU itu.

“Majlis Presiden mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri dua hari lalu bahawa satu MoU baharu tidak akan ditandatangani. Ini bermakna MoU ini akan terus berkuat kuasa selagi mana Parlimen ke-14 belum dibubarkan, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 2.1 MoU.

“Oleh itu, Majlis Presiden mengarahkan wakil PH dalam Jawatankuasa Pemandu MoU supaya mengadakan mesyuarat segera bersama kerajaan yang turut akan meneliti perkara dinyatakan Perdana Menteri berkaitan pendanaan politik,” kata kenyataan itu.

Selain itu, menurut Majlis Presiden PH, Perkara 4 iaitu kebebasan institusi kehakiman juga perlu dilaksanakan sepanjang masa.

Pada masa sama, menurut Majlis Presiden PH, dengan lulusnya pindaan Perlembagaan itu maka 15 dari 18 perkara yang dipersetujui di dalam MoU ini sudah dilaksanakan iaitu bersamaan dengan 83.3 peratus.

Kenyataan itu juga menyebut kelulusan RUU itu adalah kemenangan besar buat rakyat, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk membaiki suasana politik dan demokrasi dalam negara, serta menjamin episod khianat seperti ‘Langkah Sheraton’ tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan amat gembira dan berbangga kerana pindaan Perlembagaan ini sangat bersejarah ini adalah satu kemenangan besar untuk rakyat Malaysia.

Ia adalah salah satu tiang seri kepada MoU di antara kerajaan dan PH dan kita percaya dengan lulusnya pindaan Perlembagaan semalam, maka keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi itu sendiri akan mulai pulih.

Related posts

Leave a Comment