Scammer: Enam bulan rugi RM362 juta

KUALA LUMPUR 28 Julai – Dewan Rakyat diberitahu hari ini, dalam tempoh enam bulan, Januari hingga Jun, sebanyak 10,468 kertas siasatan dibuka berhubung kes jenayah dalam talian yang melibatkan kerugian lebih RM362 juta.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,169 pertuduhan telah pun dilaksanakan membabitkan jenayah scammer bagi tempoh yang sama.

Jelas beliau, peningkatan kes jenayah penipuan dipengaruhi kepesatan pembangunan dan kecanggihan era teknologi yang membawa kepada kewujudan pelbagai aplikasi yang membantu masyarakat bertukar maklumat dan sebagainya.

Mengikut statistik yang diberi, Kontinjen Kuala Lumpur mencatatkan kes yang tertinggi berbanding kes lain sebanyak 1,338 kes.

Bagi jenayah judi dalam talian pula, bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya membuat 3,950 serbuan dengan tangkapan seramai 4,754 orang.

Hasil serbuan tersebut, PDRM telah merampas wang tunai sebanyak RM762,855.00 dengan jumlah barang rampasan sebanyak 7,544 barang kes.

Beliau menjawab pertanyaan Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang meminta kementerian menyatakan statistik mengikut negeri bagi kes pinjaman wang tidak berlesen seperti ah long, scammer, dan judi dalam talian di Malaysia.

Ismail berkata, sebanyak  506 kes melibatkan kes pinjaman wang tidak berlesen ah long dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Jun lepas.

Ia melibatkan kerugian bernilai lebih RM4.28 juta, dengan Johor mencatatkan kes tertinggi berbanding negeri yang lain iaitu 86 kes.

“Pelbagai usaha telah dijalankan oleh PDRM dalam mengekang sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen termasuklah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan seterusnya menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam penipuan,” katanya.

Sepanjang tempoh kajian Januari hingga Jun tahun 2022, seramai 744 tangkapan telah dibuat dan sebanyak 241 pertuduhan telah pun dilaksanakan.

Related posts

Leave a Comment