TOKYO: Selepas merekodkan 200,954 kes Covid-19 pada Sabtu lalu, Jepun mencatatkan kes harian tertinggi dalam sejarah apabila sebanyak 209,694 kes disahkan semalam dengan jumlah kematian 122 orang.
Minggu lepas, kira-kira 201,000 kes jangkitan direkodkan dan angka kematian melebihi 100 orang untuk tempoh dua hari berturut-turut.
Berikutan negara itu terus bergelut dengan gelombang ketujuh yang didorong varian Omicron BA.5, pakar kesihatan menggesa ‘tindakan berjaga-jaga tahap maksimum’.
Warga emas pula dinasihatkan untuk tidak keluar rumah atas urusan yang tidak penting kerana berisiko tinggi mengalami gejala yang teruk.
Bagaimanapun, di sebalik peningkatan semula kes, Jepun tidak mengenakan sekatan pergerakan terhadap rakyatnya kerana Perdana Menteri, Fumio Kishida sedang berusaha mengimbangi aktiviti sosioekonomi dan mengambil langkah pencegahan jangkitan daripada terus merebak.
Menurut Kementerian Kesihatan, pesakit yang mengalami simptom teruk mencecah 311, meningkat 40 orang berbanding Selasa.
Lebih separuh daripada 47 wilayah di negara itu mencatatkan peningkatan kes pada Rabu, termasuk Hokkaido dan Kyoto.
Tokyo melaporkan 29,036 kes Covid-19, manakala Osaka mencatat 21,860 jangkitan baharu dan meningkatkan tahap amaran kepada tiga, iaitu tertinggi sejak tiga bulan lalu.
Setakat ini Jepun merekodkan jumlah kumulatif kes 11,888,057 dengan jumlah kematian pula 32,170 orang sementara kes sembuh pula 10,380,180.
