Arab Saudi batalkan ‘hos umrah’

RIYADH: Arab Saudi membatalkan program ‘Hos Umrah’ atau ‘Tuan Rumah Umrah’ yang membolehkan rakyat dan ekspatriat Arab Saudi membawa masuk tiga hingga lima jemaah asing untuk menunaikan ibadah itu.

Menurut laporan Saudi Gazette, jurucakap Kementerian Haji dan Umrah, Hisham Bin Saeed, berkata projek itu dibatalkan dan tidak akan dilaksanakan selepas tiga tahun ia dijalankan.

Menerusi program itu, seorang warganegara boleh menjadi tuan rumah kepada mana-mana orang Islam dari luar negara, manakala ekspatriat pula boleh menjadi tuan rumah kepada saudara-mara terdekat untuk menunaikan ibadah umrah.

Kementerian pula akan mengeluarkan visa kepada warganegara berdasarkan daftar sivil mereka, manakala warga asing melalui permit pemastautin (iqama).

Skim berkenaan juga memerlukan rakyat dan penduduk untuk menjaga dan melayani mereka yang dijemput ke negara itu untuk menunaikan umrah sehinggalah keberangkatan pulang mereka dengan kemungkinan mengulangi proses penganjuran tiga kali setahun.

Kementerian Haji dan Umrah sebelum ini mengumumkan bahawa mereka membatalkan visa tuan rumah umrah, malah menyatakan sekiranya perkembangan baharu dalam perkara itu ia akan diumumkan dalam saluran rasminya.

Related posts

Leave a Comment