SEPANG 8 Ogos – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah berdasarkan tinjauan dan undian kecenderungan pengundi.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, berdasarkan semakan itu, gabungan parti politik itu kini berada di hadapan berbanding Perikatan Nasional (PN) dan kini dalam usaha memperoleh dua pertiga.
“Setakat malam ini (malam tadi), Kerajaan Perpaduan sudah memperoleh majoriti mudah, malah hampir menuju dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, katanya ketika berucap pada siri Ceramah Kita Selangor di Dataran Sadiman, Bukit Changgang, di sini malam tadi.
Amirudin berkata, beliau membuat semakan bukan hanya berdasarkan kepada satu agensi, sebaliknya semakan turut diadakan dengan badan tinjauan atau pool (undian) lain.
Katanya, beliau bukan rasa angkuh, sombong dan melompat terlalu awal kerana masih ada empat hari lagi sebelum mengundi.
“Saya sudah kira-kira dan hitung, setakat ini (kita mendahului). PN nak claim (dakwa) apa, dakwalah,” katanya.
Amirudin mengakui BN berjaya membangunkan Selangor menjadi sebuah negeri maju dan kini tugas dan peranan itu disambung PH.
“Siapa bangunkan Selangor sampai jadi negeri maju…BN dan saya tidak pernah nafikan, memang BN telah majukan. Kini tugas itu disambung PH…sekarang dua-dua elemen itu terbukti membawa kemajuan di Selangor. Gabungan ini akan menjadi gabungan paling mantap dan kukuh untuk membawa Selangor terus maju pada masa hadapan,” katanya.
