PENAMPANG 25 Sept. – Persoalan mengenai keadaan sebenar Dr Maximus Ongkili yang mendiamkan diri sejak beberapa bulan lalu terjawab selepas Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Joachim Gunsalam menjelaskan mengenai gangguan kesihatan yang dialami Presiden parti itu.
Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menjelaskan, berikutan gangguan kesihatan yang dialami Maximus, bekas Ahli Parlimen Kota Marudu itu menghadapi kesukaran berkomunikasi.
Berikutan keadaan itu, Dr Joachim berkata, Maximus meminta maaf kepada perwakilan dan semua ahli PBS kerana tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.
Dr Joachim ketika mewakili Maximus menyampaikan ucapan dasar presiden pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-38, di sini, semalam memaklumkan keadaan kesihatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak) itu kini semakin baik.
“Tahap kesihatannya semakin baik dan ini dibuktikan dengan kehadirannya hari ini. Namun, beliau dengan rendah diri memohon jutaan kemaafan kerana masih tidak dapat berkomunikasi dengan baik dan meminta saya membacakan ucapan dasarnya,” katanya.
Maximus turut hadir pada majlis itu bersama Penasihat Perdana PBS yang juga bekas presiden parti itu, Joseph Pairin Kitingan.
Sebelum ini, Maximus tidak kelihatan dalam mana-mana program sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu yang menyaksikan beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu yang disandangnya selama enam penggal.
Maximus dalam ucapan dasarnya yang dibacakan Dr Joachim, berkata, satu Jawatankuasa Semakan Perlembagaan PBS diwujudkan bagi menyemak semula perlembagaannya termasuk menstruktur semula persidangan perwakilan kepada tiga tahun sekali berbanding secara tahunan ketika ini.
Katanya, satu sayap baharu pergerakan parti untuk ahli wanita muda turut dicadang diwujudkan sebagai antara pembaharuan yang akan dilaksanakan PBS.
Sementara itu, Pairin yang juga pengasas PBS, menyifatkan cadangan kerjasama di antara parti itu dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan adiknya, Dr Jeffrey Kitingan adalah sesuatu yang baik.
“Kita perlu melindungi hak Sabah dan amalan demokrasi serta masa depan. Saya fikir adalah sesuatu yang bijak jika dapat bekerjasama kerana kita ada kumpulan lain yang menyokong niat kita untuk memastikan hak kita dilindungi.
“Kerjasama bukan bermakna bergabung, apabila bekerjasama, kita bekerja bersama dengan niat baik, tidak mensabotaj tetapi saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Persidangan Perwakilan PBS kelmarin menyokong sebulat suara bersetuju membincangkan cadangan kerjasama dengan STAR dan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi PBS untuk melaksanakan perbincangan.
Terdahulu Jeffrey menyuarakan keterbukaan parti pimpinannya berbincang dengan PBS mengenai soal kerjasama kedua-dua parti berasaskan Kadazandusun Murut itu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16).
(Foto FB Maximus Ongkili)
