Tukar parti, hilang kerusi

KUALA LUMPUR 27 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, bakal memastikan kemelut politik berpanjangan sejak dua tahun lalu, tidak berulang.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata RUU berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti itu akan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan krisis politik yang tiada kesudahan.

Beliau berkata, RUU itu juga sebagai mesej jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili, melindungi mandat rakyat yang diterima ketika pilihan raya, serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya.

Melalui RUU itu, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti, sama ada dalam gabungan yang sama atau berbeza akan kehilangan kerusi Parlimen yang disandang.

Perdana Menteri berkata, Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politiknya selepas menang pilihan raya untuk menjadi wakil rakyat Bebas juga perlu mengosongkan kerusi disandang.

Jelasnya, RUU itu memperincikan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keahlian mereka dalam sesebuah parti politik, dan bukan keanggotaan parti itu dalam mana-mana gabungan.

Bagaimanapun, katanya, RUU itu turut memperuntukkan beberapa pengecualian kepada wakil rakyat yang bertukar parti, antaranya Ahli Dewan Rakyat dipecat daripada partinya tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang.

“Ahli Dewan Rakyat yang keluar daripada parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza, adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

“Mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti atau meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya, untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi,” katanya.

Ismail Sabri menyifatkan RUU itu sebagai sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara pihak kerajaan dan pembangkang.

“Semoga RUU ini berupaya melakar sejarah seperti mana pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memperoleh sokongan penuh daripada semua Ahli Parlimen yang berjiwa besar,” katanya.

Justeru Perdana Menteri menegaskan kepentingan RUU itu mendapat sokongan sebulat suara kerana penggubalannya mengambil masa hampir setahun dan membabitkan masa, tenaga dan komitmen Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen.

“Sokongan semua Ahli Yang Berhormat kepada pindaan RUU ini amat penting memandangkan keperluan fasal 3 Perkara 159 yang tertakluk kepada fasal 4 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia memperuntukkan satu RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan hanya dapat diluluskan jika mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan ketiga tidak kurang daripada dua pertiga atau 148 (jumlah minimum) daripada jumlah Ahli Majlis Parlimen.

“Besarlah harapan saya agar RUU ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment