Tarif bekalan air kekal

PUTRAJAYA 26 Julai – Kerajaan bersetuju mengekalkan tarif bekalan air bagi kategori domestik (premis kediaman) di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan berikutan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat .

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam satu kenyataan memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Jun lalu bersetuju dengan perkara itu.

Kabinet juga bersetuju dengan pelaksanaan pelarasan tarif bekalan air bagi kategori bukan domestik serta kategori khas di Semenanjung dan Labuan berkuat kuasa 1 Ogos membabitkan kenaikan purata sebanyak 25 sen bagi setiap meter padu.

Ia berikutan persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri itu dengan penggunaan instrumen Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) dalam menyusun semula pengurusan bekalan air negara.

“Kenaikan ini sebenarnya masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.68 bagi setiap meter padu,” kata KASA.

KASA memaklumkan terdapat beberapa negeri yang kadar tarif tidak pernah disemak untuk tempoh sangat panjang seperti Pahang selama 39 tahun dan Perlis 26 tahun.

TSM yang dibangunkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak 2016 adalah mekanisme penetapan tarif air yang sistematik, adil dan telus bagi memandu industri perkhidmatan air negara mencapai kemapanan jangka masa panjang.

“Pembangunan, perancangan dan implementasi TSM dilakukan secara inklusif dengan penglibatan secara menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan,” jelas KASA.

Selaras dengan keprihatinan kerajaan terhadap suasana ekonomi rakyat, operator bekalan air negeri disaran meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40.

KASA juga mengajak pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemat dengan mengamalkan beberapa langkah seperti menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN.

Related posts

Leave a Comment