Malaysia rekod 28,825 kes harian

PUTRAJAYA 20 Feb. – Kes positif Covid-19 di negara ini sekali lagi menunjukkan angka tertinggi apabila merekodkan 28,825 kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 3,194,848.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan media, berkata daripada jumlah itu 28,734 kes adalah penularan tempatan membabitkan 28,071 warganegara dan 663 bukan warganegara.

Beliau berkata, sebanyak 91 kes import terdiri 47 rakyat negara ini, manakala 44 lagi warga asing.

Katanya, sejumlah besar kes yang dilaporkan semalam adalah dalam kategori satu dan dua iaitu sebanyak 28,730, manakala 95 kes pula adalah kategori tiga, empat dan lima.

Daripada 95 kes COVID-19 kategori tiga, empat dan lima yang baharu dilaporkan semalam, sebanyak 28 kes atau 29.47 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi.

Sejumlah 49 kes atau 51.58 peratus sudah menerima dua dos vaksin, 18 kes atau 18.95 peratus menerima dos penggalak, 41 kes atau 43.16 peratus membabitkan pesakit berusia 60 tahun dan ke atas, 48 kes atau 50.53 peratus pesakit mempunyai komorbid.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 12 kluster baharu direkodkan, menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di negara ini sebanyak 492.

Sementara itu, jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 18,514, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 2,919,196 kes.

Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 238, manakala kes memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 130 kes.

Related posts

Leave a Comment