Najib tamat khidmat Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR 26 Julai  – Bekas Perdana Menteri Najib Razak menamatkan khidmat peguam Muhammad Shafee Abdullah dan peguam firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Najib yang memberhentikan Tetuan Shafee & Co yang mewakilinya dalam kes SRC International sejak 4 Julai 2018, semalam dengan serta-merta, melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (“ZIST”) sebagai peguam cara baharu.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh firma guaman Tetuan Shafee & Co melalui sepucuk surat Pemakluman Perberhentian Kaunsel dan Peguam Cara kepada pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan bertarikh hari ini.

Melalui surat itu, Tetuan Shafee & Co menyatakan bahawa firma guaman itu menerima surat daripada Najib pada pukul 5 petang semalam, yang memberhentikan Muhammad Shafee dan peguam cara lain daripada firma berkenaan dengan serta-merta daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes SRC International.

Menerusi surat yang sama, firma itu menyatakan bahawa Najib memaklumkan yang beliau melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu.

“Sehubungan itu, pihak kami sedang berusaha melengkapkan proses penyerahan dokumen secara fizikal dan digital kepada ZIST, yang dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada hari ini,” kata surat itu.

Firma guaman Tetuan Shafee & Co dilantik mewakili Najib sejak beliau dituduh dalam kes SRC International pada 4 Julai 2018.

Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Queen’s Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir kes berkenaan.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara, memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu, bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana. SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan Jho Low menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Rayuan akhir itu dijadualkan didengar selama 10 hari bermula pada 15 Ogos ini.

Related posts

Leave a Comment