Hisyam Teh Poh Teik ganti Shafee

KUALA LUMPUR 26 Julai – Bekas Perdana Menteri, Najib Razak melantik Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama, untuk mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang akan didengar Ogos depan.

Firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baharu dilantik Najib dalam suratnya dialamatkan kepada Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, memaklumkan bekas perdana menteri itu melantik Hisyam sebagai peguam utama dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam, sebagai peguam bersama.

Surat berkenaan turut menyatakan barisan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah tidak lagi mewakili Najib dalam kes rayuan akhir berkenaan.

“Dalam hal ini, kami dengan penuh hormatnya memohon supaya mahkamah merekodkan penukaran peguamcara dan kaunsel (peguam), sepertimana yang dinyatakan.

Selaras dengan penukaran ini, kami juga memohon mahkamah untuk menetapkan satu tarikh sebutan dan tarikh pengurusan baharu dengan segera mengikut keselesaan mahkamah, bagi membolehkan kaunsel mengemuka maklumat terkini dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada mahkamah.

“Oleh kerana pengurusan kes ditetapkan pada 29 Julai ini rayuan pada 15 hingga 26 Ogos ini, kami berharap bahawa perkara ini boleh diuruskan dengan kadar segera bagi membolehkan pihak kami amendapatkan arahan yang diperlukan daripada mahkamah,” kata surat itu.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Hisyam ialah peguam Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Najib  yakin pelantikan barisan peguam baharu akan memberikan perspektif berbeza dalam pembelaan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan negara, SRC International Sdn Bhd.

Perdana Menteri berkata penukaran barisan peguam itu dilakukan selepas Queen’s Counsel (peguam kanan dari United Kingdom), Jonathan Laidlow tidak diterima masuk untuk mewakilinya dan selepas berunding dengan peguam di Singapura dan peguam bela kanan India berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Pekan itu mengesahkan pelantikan Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguamcara dan Kaunsel (peguam), Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama serta Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam sebagai peguam bersama.

Peguam cara terdahulu iaitu Shafee & Co dan peguam Muhammad Shafee Abdullah akan terus bertindak sebagai peguam cara dan peguam dalam semua kes lain membabitkan di mahkamah.

“Saya ingin merakamkan sokongan dan penghargaan kepada seluruh pasukan guaman atas komitmen dan usaha berterusan mereka dalam memastikan saya mendapat perbicaraan yang adil.

“Adalah tidak adil bagi media untuk membuat kesimpulan atau melaporkan bahawa Shafee & Co disingkirkan daripada kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Related posts

Leave a Comment