Perlis benteng utama Ahli Sunnah

KANGAR 20 Jun – Perlis menjadi benteng utama Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada segala amalan tahyul, khurafat dan tokok tambah ajaran agama tanpa asas benar, titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sambil menegaskan pendirian Perlis tidak berpegang langsung kepada ajaran ‘Wahabi’ baginda menggesa seluruh umat Islam berganding bahu membela sunnah Rasulullah SAW kerana ia wajar diambil berat oleh setiap Muslim.

“Keutamaan kita di Perlis adalah setiap perkara perlu berteraskan al-Quran dan sunnah dengan melihat kepada huraian dan ijtihad ulama yang muktabar membabitkan semua aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak terhad kepada satu-satu tokoh shaja,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menutup program Perkampungan Sunnah Siri ke-7 di Masjid Alwi di sini malam tadi.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis penutup itu turut dihadiri Menteri Besar, Azlan Man, barisan EXCO kerajaan negeri dan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Program Perkampungan Sunnah itu yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu bertemakan ‘Bangkit Membela Sunnah’ menjadi platform dalam membincangkan topik semasa sebagai usaha pendedahan kepentingan dalil dan kaedah yang benar dalam beragama.

Related posts

Leave a Comment