RUU lompat parti dibentang Rabu

KUALA LUMPUR 25 Julai – Rang undang-undang (RUU) berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti, akan dibentang serta digulung di Dewan Rakyat pada Rabu dan Khamis ini jika tiada sebarang halangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu sudah melalui banyak sesi libat urus sejak Januari lalu, malah diketahui secara meluas dalam kalangan Ahli Parlimen.

Katanya, pendekatan bagi RUU terbabit juga berbeza berbanding undang-undang sedia ada, berikutan ia dihasilkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dan dicetak oleh pihak Parlimen, serta bukan dibuat dari kamar Jabatan Peguam Negara.

“Kalau tiada halangan, insya-Allah, Ahli Parlimen setuju (dengan RUU itu), kita akan dapat menamatkan dan menyelesaikan masalah itu sebelum jam 5.30 petang,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Industri Antarabangsa, Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2021, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee, menyampaikan cek geran padanan kepada 11 syarikat.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi memaklumkan, libat urus membabitkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bersama Ahli Dewan Rakyat kerajaan akan diadakan pada hari ini, manakala dengan Ahli Dewan Rakyat pembangkang pula, esok.

Related posts

Leave a Comment