Lebih separuh kes tidak bergejala

PUTRAJAYA 7 April – Sebanyak 6,623 atau 54.7 peratus daripada 12,105 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan semalam membabitkan kes dalam  kategori satu atau individu tidak bergejala.

Jumlah kes harian itu juga menunjukkan peningkatan berbanding 12,017 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 4,280,591 kes.

Menurut data di laman sesawang COVIDNOW, daripada jumlah jangkitan baharu yang dikesan sebanyak 12,062 kes adalah penularan tempatan dengan 43 kes lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Data berkenaan turut menunjukkan Selangor menjadi negeri paling tinggi melaporkan jumlah kes baharu iaitu sebanyak 6,783 kes.

Ini diikuti Negeri Sembilan dengan 826 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (733), Perak (622), Pulau Pinang (508), Johor (426), Terengganu (416), Sarawak (415), Kedah (400) dan Pahang (320).

Melaka dengan 206 kes baharu, Sabah (188), Kelantan (150), Wilayah Persekutuan Putrajaya (54), Perlis (41) dan Wilayah Persekutuan Labuan (17).

Sementara itu, sebanyak 5,387 kes (44.5 peratus) adalah dalam kategori dua, kategori tiga (40 kes), kategori lima (38) dan kategori empat (17).

Secara keseluruhannya daripada 95 kes kategori tiga hingga lima itu sebanyak 57 kes atau 60 peratus membabitkan individu yang mempunyai komorbid.

Ini diikuti 53.68 peratus atau 51 kes dalam kalangan individu berusia 60 tahun keatas, sudah menerima dos penggalak (37 kes), sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (30) dan tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksin (28).

Sehingga kini terdapat 162,216 kes yang masih aktif di negara ini, daripada jumlah berkenaan 97.6 peratus atau 158,343 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu terdapat 3,279 kes pula kini sedang mendapatkan rawatan di hospital; Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (373), Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (122) dan ICU (99).

Related posts

Leave a Comment