Sunak, Truss ‘tabur’ janji jika jadi PM

LONDON: Dua calon terakhir yang bersaing untuk jawatan Perdana Menteri Britain terus ‘berkempen’ bagi memenangi undi untuk melayakkan mereka menggantikan Boris Johnson.

Bekas Menteri Kewangan Rishi Sunak dan Setiausaha Luar Liz Truss saling cabar mencabar serta menabur janji bagi melaksanakan sesuatu sekiranya dipilih.

Sunak ketika menjawab tuduhan ke atasnya, berjanji akan bersikap tegas terhadap China sekiranya dipilih menjadi Perdana Menteri berikutan kuasa besar Asia itu dilihat sebagai ‘ancaman nombor satu’ kepada keselamatan domestik dan global.

Janji itu dibuat selepas pesaingnya, Truss, menuduhnya lemah terhadap di China dan Russia.

Antara yang dicadangkan Sunak ialah menutup semua 30 Institut Confucius di Britain, menghalang penyebaran pengaruh China melalui program budaya dan bahasa dan mengkaji kes untuk mengharamkan pengambilalihan aset utama British oleh China, termasuk firma teknologi yang sensitif secara strategik.

Sementara itu Truss akan menetapkan rancangan untuk mewujudkan zon pelaburan peraturan rendah baharu dan lebih banyak pelabuhan bebas dalam kempennya untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Beliau berkata, tumpuan utamanya ialah meningkatkan pertumbuhan pada masa inflasi yang meningkat dan kemungkinan kemelesetan.

“Jika saya dilantik sebagai perdana menteri, saya akan bekerjasama dengan masyarakat tempatan untuk mengenal pasti tapak pembangunan semula untuk zon pelaburan atau apa yang disifatkan sebagai ‘pelabuhan bebas penuh’,” katanya.

Truss berkata zon sedemikian akan mempunyai beban cukai yang rendah untuk memacu pelaburan dan pembinaan, mengurangkan sekatan perancangan dan peraturan yang disesuaikan untuk menggalakkan industri bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan.

“Dengan mewujudkan Zon Pelaburan baharu ini, akhirnya akan membuktikan bahawa kami komited terhadap masa depan mereka dan memberi insentif untuk merangsang pelaburan yang akan membantu mereka yang bekerja keras,” katanya.

Related posts

Leave a Comment