Cacar monyet: KKM ambil langkah awal

PUTRAJAYA 25 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengambil beberapa langkah awal, berikutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan cacar monyet sebagai darurat kesihatan global.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia termasuklah mengingatkan semua fasiliti kesihatan supaya peka dengan situasi semasa jangkitan berkenaan serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.

Beliau berkata, sehingga Sabtu lalu, sejumlah sembilan kes disyaki monkeypox sudah dinotifikasikan kepada pihaknya bagaimanapun, semua kes berkenaan disahkan negatif.

KKM turut meminta fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta mengenai keperluan untuk notifikasikan kes yang disyaki atau disahkan monkeypox dalam kadar segera bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dapat diambil.

Di samping itu, KKM turut mewujudkan survelan sentinel di beberapa klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit; mempertingkatkan kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus monkeypox dengan penambahan dua makmal menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 makmal (lapan makmal kerajaan dan empat makmal swasta).

“Mempertingkatkan survelan di pintu masuk antarabangsa negara (PMA) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), syarikat penerbangan dan agensi berkaitan termasuk Malaysian Airlines Holding Berhad (MAHB) serta bekerjasama dengan beberapa kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy turut memaklumkan sehingga Sabtu lalu, pihak MySejahtera sudah mengeluarkan amaran kesihatan monkeypox (Health Alert Monkeypox) kepada 531,630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara melaporkan kes jangkitan berkenaan.

Semua pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara (travellers card) dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara melaporkan monkeypox akan menerima ‘pop-up’ mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka supaya memantau gejala jangkitan dan status kesihatan.

Pengembara yang tiba dari negara terbabit, dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan monkeypox untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

Gejala monkeypox termasuklah demam, keletihan, sakit kepala, ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian tubuh yang lain, lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

Khairy menegaskan, individu individu yang mempunyai gejala monkeypox untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dan elakkan daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan.

Bagi pengendali premis yang menyediakan perkhidmatan yang membabitkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain aktiviti berisiko untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, serta memastikan pelanggan sihat, tidak mengalami gejala monkeypox dan tiada ruam makulapapular.

Mengulas lanjut mengenai jangkitan monkeypox, Khairy berkata virus berkenaan boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping (scab), ataupun cairan daripada lesi terbabit.

Transmisi virus juga boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti, sama ada dengan cara digigit atau dicakar oleh haiwan terbabit, atau dengan cara memakan ataupun menggunakan hasil produk haiwan berkenaan.

Sentuhan dengan peralatan yang tercemar dengan lesi kulit ataupun cairannya juga boleh menyebabkan jangkitan dan kes monkeypox boleh menularkan jangkitan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum terjadinya lesi pada kulit, sehingga 21 hari daripada bermulanya gejala atau sehingga lesi pada kulit menjadi kuping (scab) dan pesakit tidak lagi bergejala.

Kes jangkitan monkeypox boleh pulih tanpa sebarang rawatan. Rawatan yang diberikan adalah bagi merawat gejala yang dialami oleh pesakit.

Penularan virus monkeypox pada ketika ini dilaporkan berlaku dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti pekerja seks dan transgender.

Bagaimanapun, penyakit ini bukanlah penyakit bagi kumpulan ini secara eksklusif kerana ia boleh juga menjangkiti ahli keluarga melalui sentuhan.

Related posts

Leave a Comment