Buli : Malaysia di tangga keenam tertinggi

KUALA NERUS 24 Julai – Malaysia berada di tangga keenam tertinggi di dunia dan kedua di Asia dalam masalah buli terutamanya dalam buli siber, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, ramai pembuli tidak tahu bahawa sebarang kandungan berniat jahat di Internet dengan tujuan mengganggu, memprovokasi, mengancam atau menyalah guna adalah suatu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut beliau lagi, perbuatan buli bukan sahaja boleh berlaku terhadap pelajar sekolah dan universiti, malah orang dewasa dan berkerjaya juga tidak terkecuali.

Katanya , buli di tempat kerja juga mungkin melibatkan ugutan, gosip, jenaka yang menyinggung perasaan dan memperkecilkan seseorang individu.

Buli di tempat kerja berlaku dalam pelbagai bentuk seperti hasil kerja dicuri atau disabotaj, dimalukan atau dipulaukan rakan sepejabat.

Dr Noor Hisham berkata, kes buli di tempat kerja menyumbang kepada pelbagai masalah, termasuk peningkatan risiko kesihatan dan melemahkan prestasi kerja.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Seminar Psikologi Kesihatan (PSYCHE 1.0): Hentikan Buli! Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022, yang dibacakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Kasemani Embong di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata walaupun bukan secara fizikal, gejala buli yang dilakukan melalui pertuturan dan gangguan emosi boleh mendatangkan kecederaan kepada emosi seseorang.

Related posts

Leave a Comment