Wanita kedua Presiden India ke-15

NEW DELHI: Seorang ahli politik wanita daripada komuniti puak di negeri timur Odisha bakal menjadi presiden baharu India yang ke-15 dan merupakan wanita kedua dipilih memegang jawatan itu.

Droupadi Murmu, 64, akan menggantikan Ram Nath Kovind, 76, yang akan tamat penggal lima tahunnya pada 24 Julai ini.

Wanita pertama yang dipilih sebagai Presiden India sebelum ini adalah Pratibha Patil, bekas Gabenor Rajasthan yang dilantik pada 25 Julai 2007 hingga Julai 2012.

Murmu, yang dicalonkan oleh parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) menewaskan calon pembangkang Yashwant Sinha, 84, bekas menteri kewangan yang meletak jawatan daripada BJP pada 2018 kerana berbeza pandangan politik.

Pengundian diadakan pada Isnin dan pengiraan undi selesai pada Khamis.

Presiden India dipilih secara tidak langsung oleh anggota dewan secara undi elektoral.

Murmu, yang berasal daripada puak Santhal di daerah Mayurbhanj Odisha pernah menjadi guru sekolah sebelum menyertai politik dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Odisha.

Murmu bersara sebagai Gabenor Jharkhand pada 2021.

Sementara itu, Perdana Menteri Narendra Modi berkata, Murmu mempunyai tempoh yang sangat baik sebagai Gabenor Jharkhand.

“Saya pasti beliau akan menjadi Presiden yang cemerlang, memimpin India terus maju ke hadapan dan mengukuhkan perjalanan pembangunan India,” katanya.

(Foto FB Modi)

Related posts

Leave a Comment