Lonjakan kes Covid-19 di Jepun

TOKYO 22 Julai – Jepun merekodkan kes harian Covid-19 sebanyak 186,000 semalam (Khamis) sekali gus mencatatkan rekod untuk hari kedua berturut-turut.

Kes tinggi dicatatkan di 35 daripada 47 wilayah negara itu termasuk Tokyo, Osaka dan Fukuoka ketika subvarian BA.5 Omicron menular di seluruh negara.

Tokyo mencatatkan 31,878 kes, melebihi 30,000 buat pertama kali, berbanding rekod  sebelumnya sebanyak 21,562 dicatatkan pada 2 Februari lalu.

Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, berkata ibu negara itu mengambil langkah untuk meningkatkan sistem perubatannya dan menggesa penduduk untuk mendapatkan suntikan dos penggalak dan mengambil langkah pencegahan lain.

Kerajaan metropolitan melaporkan jumlah harian lebih 10,000 sejak 12 Julai.

Sebanyak 22,047 kes disahkan di Wilayah Osaka, barat Jepun, mengatasi rekod 21,976 yang dicatat sehari sebelumnya manakala wilayah barat daya Fukuoka melaporkan 10,752 kes, melebihi 10,000 buat pertama kali.

Jumlah terkini di seluruh negara adalah 152,536 kes pada Rabu dengan rekod disahkan di 30 daripada 47 wilayah.

Di sebalik lonjakan kes Covid-19, kerajaan mengulangi bahawa ia tidak bercadang untuk mengenakan sekatan pergerakan.

Dalam mesyuarat pada Khamis panel penasihat Covid-19 Kementerian Kesihatan, beberapa pihak menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan sekatan seperti meletakkan wilayah di bawah keadaan kecemasan.

Panel melaporkan bahawa remaja dan kanak-kanak paling terdedah dalam gelombang ketujuh jangkitan tetapi peningkatan jangkitan baru-baru ini dalam kalangan mereka yang berumur 60-an atau lebih menimbulkan kebimbangan lebih ramai pesakit mengalami gejala yang teruk.

Related posts

Leave a Comment