Bersama rakyat Brunei Darussalam

BELAIT 22 Julai – Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat bertemu rakyat melalui Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk bagi Daerah Belait semalam .

Majlis yang berlangsung di Padang Bandaran, Jalan Sultan di daerah ini, dihadiri pelbagai lapisan rakyat termasuk warga asing.

 Para pelajar sekolah berbaris mengibarkan bendera-bendera kecil negara bagi sama-sama menjunjung keberangkatan baginda, serta disambut dengan barisan pelajar memegang bunga manggar yang diiringi dengan kemeriahan paluan hadrah.

Paluan hadrah mengiringi keberangkatan baginda dan Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ bergema sebaik sahaja baginda berserta kerabat diraja berangkat tiba di Pentas Diraja.

 Baginda kemudian berkenan menyaksikan Persembahan Khas membawa tema ‘Raja Untuk Rakyat, Rakyat Untuk Raja’ dengan berkonsepkan ‘Raja Disanjung, Rakyat Menjunjung’ daripada gabungan hampir 500  peserta terdiri daripada para belia, penuntut sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi.

 Turut diadakan pameran dan persembahan rakyat yang dimuatkan dalam khemah-khemah yang disediakan.

 Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah diakhiri dengan Majlis Santap Tengah Hari yang berlangsung di Dewan Santap berdekatan Kediaman Rasmi, Pegawai Daerah Belait.

 Baginda juga berkenan memotong kek Hari Keputeraan Ke-76 bagi Tahun 2022.

(Foto Jabatan Penerangan Brunei Darussalam)

 

Related posts

Leave a Comment