Wajibkan pemakaian pelitup muka?

STOCKHOLM: Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) melaporkan jumlah jangkitan Covid-19 di Eropah meningkat tiga kali ganda dalam tempoh enam minggu.

Menurut pakar kanan ECDC, Agoritsa Baka, faktor utama gelombang itu adalah subvarian Omicron, BA.4 and BA.5, yang merangkumi 80 peratus daripada keseluruhan jangkitan di Eropah ketika ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini memaklumkan hampir tiga juta kes baharu Covid-19 dilaporkan di Eropah sepanjang minggu lalu, yang merangkumi hampir separuh daripada semua kes baharu di seluruh dunia.

Di samping itu jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital turut meningkat dua kali ganda di Eropah sejak beberapa minggu lalu, dengan data WHO menunjukkan hampir 3,000 warga Eropah maut akibat wabak itu setiap minggu.

ECDC berpandangan langkah kawalan pandemik mungkin perlu dilaksanakan semula, termasuk ‘mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan sekatan himpunan dalam jumlah besar’.

Di samping itu, terdapat kebimbangan bahawa subvarian baharu, BA.2.75, berisiko terus melonjakkan jumlah kes Covid-19.

Subvarian yang menular di India itu turut dikesan di 15 lagi negara, termasuk United Kingdom (UK), Jerman, Belanda dan Denmark.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada BA.2.75 lebih berbahaya berbanding subvarian sedia ada.

Related posts

Leave a Comment