Sunak, Truss bersaing jadi PM UK

LONDON: Siapa bakal menggantikan Boris Johnson sebagai Perdana Menteri Britain dan ketua Parti Konservatif tiba ke kemuncaknya apabila mantan Menteri Kewangan Rishi Sunak dan Menteri Luar Liz Truss bersaing bagi pusingan penentuan.

Sunak dan Truss masih bertahan sementara Menteri Perdagangan, Penny Mordaunt  terkeluar daripada persaingan selepas 357 undian dibuat daripada 358 manakala dua kertas undi rosak.

Dalam persaingan tiga penjuru itu, Sunak terus menjadi calon kegemaran dengan mendapat 137 undi dalam undian pusingan kelima dan terakhir, Truss mendapat 113 undi manakala Penny Mordaunt mendapat 105 undi terkeluar daripada persaingan.

Menurut Ketua Jawatankuasa 1922 Graham Brady, undian akan ditutup pada 2 September dan keputusan akan diumumkan pada 5 September.

Sunak dan Truss akan berkempen ke seluruh negara untuk mendapatkan sokongan daripada 200,000 anggota Konservatif yang akan membuat pemilihan mereka.

Setakat ini, Sunak mendahului setiap pusingan undian dalam kalangan Ahli Parlimen Konservatif namun Truss dikatakan ada kelebihan dalam kalangan 200,000 anggota parti.

Selepas memenangi pusingan kelima itu, Sunak berkata partinya perlu mengembalikan keyakinan rakyat, membina ekonomi serta menyatukan negara, ketika negara itu dilanda krisis kos sara hidup paling teruk dalam tempoh beberapa dekad disebabkan pandemik, perang di Ukraine dan Brexit.

Tinjauan pendapat bagaimanapun menunjukkan Truss dijangka dapat mengalahkan Sunak untuk menjadi ketua parti.

“Saya percaya menurunkan cukai, membuka peluang, akan membantu kami mendapatkan pertumbuhan ekonomi yang diperlukan Britain,” kata Truss.

Ekonomi Britain berdepan inflasi yang melambung, hutang yang tinggi dan pertumbuhan yang rendah, ketika orang ramai bergelut dengan tekanan paling ketat terhadap kewangan mereka dalam tempoh beberapa dekad.

Related posts

Leave a Comment