“Saya sahabat kepada semua rakyat”

COLOMBO : Veteran politik, Ranil Wickremesinghe, 73 yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak enam kali hari ini mengangkat sumpah sebagai Presiden Sri Lanka yang ke-8 untuk tempoh sehingga 2024.

Beliau mengangkat sumpah jawatan selepas memenangi undian dalam pertandingan tiga penjuru semalam untuk menggantikan Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri dan kemudiannya meletak jawatan.

Majlis angkat sumpah jawatan berlangsung di hadapan Ketua Hakim Negara, Jayantha Jayasuriya,p di Kompleks Parlimen yang dikawal ketat.

Berikutan pelantikan itu, Wickremesinghe dikatakan sedang berusaha untuk membentuk kerajaan perpaduan bagi menguruskan pelbagai kemelut yang sedang dihadapi negara itu ketika ini.

Beliau dijangka membentuk Kabinet yang membariskan tidak lebih 30 menteri untuk mengemudi negara itu keluar daripada krisis ekonomi terburuk sejak mencapai kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman Britain.

Semasa istiadat mengangkat sumpah itu berlangsung, Ketua Polis Sri Lanka dan pegawai tertinggi tentera berdiri di belakang presiden baharu itu.

Krisis pertukaran asing yang tercetus susulan pandemik Covid-19 dan diburukkan lagi dengan tindakan salah urus menyebabkan Sri Lanka terputus bekalan elektrik secara berpanjangan.

Seperti diramal banyak pihak, Wickremesinghe dijangka menjemput rakan sepengajiannya dan bekas Menteri Pentadbiran Awam, Dinesh Gunawardena untuk menjadi perdana menteri dalam kerajaan perpaduan.

Gunawardena dan Wickremesinghe mengenali antara satu sama lain sejak usia tiga tahun dan sama-sama melanjutkan pengajian di kolej berprestij, Kolej Diraja Colombo.

Selepas beribadat di sebuah kuil Buddha semalam susulan pemilihannya, Wickremesinghe berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap anasir yang cuba mengganggu kerajaannya.

“Jika anda cuba menjatuhkan kerajaan, menduduki pejabat presiden dan pejabat perdana menteri, itu bukan demokrasi, ia melanggar undang-undang.

“Kami akan berurusan dengan tegas mengikut undang-undang. Kami tidak akan membenarkan minoriti penunjuk perasaan menyekat aspirasi majoriti rakyat yang berdiam untuk menuntut perubahan dalam sistem politik,” katanya.

Kumpulan penunjuk perasaan yang menyerbu istana Rajapaksa dan memaksanya meletak jawatan turut menuduh Wickremesinghe menjadi proksi kepada keluarga pemimpin berpengaruh itu.

“Saya bukan sahabat Rajapaksa. Saya sahabat kepada semua rakyat,” katanya ketika ditemui wartawan di kuil Gangaramaya.

Related posts

Leave a Comment