Jangan bawa pulang ganja Thailand

PADANG BESAR 21 Julai – Boleh pergi melancong ke Thailand tetapi jangan bawa pulang ganja ke negara ini walaupun negara berkenaan membenarkan penggunaan bahan terlarang itu.
Itu pesanan Ketua Polis Perlis, Surina Saad, sambil mengingatkan tindakan yang boleh diambil terhadap individu yang membawa masuk ganja ke negara ini.
Katanya, rakyat Malaysia dilarang membawa masuk ganja ke negara ini walaupun dalam bentuk produk seperti kek atau air yang mempunyai kandungan ganja yang rendah.
“Kita tidak mempunyai kuasa melarang mereka pergi melancong dan mengambil ganja di negara jiran, namun boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 sekiranya mereka membawa pulang atau berada di bawah pengaruh bahan terlarang itu ketika masuk ke negara ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan segelintir rakyat Malaysia yang masuk ke Thailand bukan hanya untuk melancong malah mengambil peluang mencuba ganja di sana.
“Secara peribadi saya nasihatkan rakyat Malaysia agar tidak cuba mengambil ganja ketika berada di Thailand walaupun ia dibenarkan di sana kerana dadah boleh memberi kesan tidak baik kepada kesihatan,” katanya.
Surina berkata beliau telah meminta agensi di sempadan agar meningkatkan pemeriksaan bagi memastikan tiada individu yang membawa masuk dadah jenis ganja ke negara ini walaupun tiada kes dilaporkan sehingga hari ini.

Related posts

Leave a Comment