Baju Kurung Johor tema warna bendera

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah tampil anggun dengan mengenakan pakaian tradisional Baju Kurung Johor ketika mengiringi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena lawatan rasmi ke Singapura yang bermula semalam.

Baginda berkenan untuk memakai Baju Kurung Johor dengan tema warna bendera Singapura yang telah ditenun kainnya oleh Yayasan Warisan Johor.

Tuanku Raja Zarith Sofiah turut mengenakan loket khas berbentuk bunga orkid Vanda Miss Joaquim – yang merupakan bunga kebangsaan Singapura, serta kerongsang yang dihadiahkan kepada Baginda oleh Sultan Johor – sebuah rekaan berasaskan Diadem DiRaja, bulan sabit, dan tujuh bintang sebagai lambang kepercayaan Islam serta kedudukan Baginda selaku Permaisuri.

Bagi sesi lawatan kedua pada hari ini, Baju Kurung Johor Baginda menampilkan tema warna bendera Johor, dengan motif bunga rekaan gambir dan lada hitam Johor bersama orkid Vanda Miss Joaquim Singapura, sebagai lambang hubungan rapat antara Johor dan Singapura.

(Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Related posts

Leave a Comment