Timor Leste harap anggota ASEAN 2023

BOGOR 19 Julai – Timor Leste berharap dapat menyertai ASEAN apabila Indonesia mengambil alih jawatan Pengerusi gagasan itu tahun depan, kata Presidennya, Jose Ramos-Horta,.

Beliau berkata Timor Leste sebagai sebahagian daripada Asia Tenggara sudah memenuhi banyak syarat yang diperlukan dari segi ekonomi dan demokrasi untuk menjadi anggota ASEAN yang produktif.

“Kami berharap dapat menyertai gagasan ini apabila Indonesia mengambil alih jawatan presiden ASEAN tahun depan,” katanya ketika menemui rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) hari ini.

Ini kunjungan pertama Ramos-Horta  sejak dilantik April lalu bagi penggal kedua sebagai presiden, selepas penggal pertama antara 2007 hingga 2012.

Timor Leste, yang memohon keahlian ASEAN pada 2011, kini memegang status pemerhati.

Ramos-Horta, yang memenangi Hadiah Keamanan Nobel atas usahanya menamatkan konflik di Timor Leste, berkata beliau mengalu-alukan hubungan perdagangan yang erat dengan komitmen Jakarta untuk negaranya menyertai perkumpulan ASEAN.

Sementara itu, Jokowi berkata, Indonesia sudah melabur AS$818 juta (RM3.6 bilion) di Timor Leste, terutama dalam bidang tenaga, perbankan dan komunikasi.

“Kami juga bersetuju untuk meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.

Data rasmi Indonesia menunjukkan perdagangan antara kedua-dua negara itu bernilai sekitar AS$250 juta (RM1.11 bilion) tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment