Pembangunan rel sedia ada diteruskan

KUALA LUMPUR 19 Julai – Kerajaan meneruskan semua perancangan pembangunan rel sedia ada walaupun berdepan kelewatan akibat pelbagai kekangan, kata Menteri Pengangkutan,  Dr Wee Ka Siong.

Beliau mengambil contoh, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sepatutnya siap pada 2024, namun disebabkan kekangan tertentu, projek itu perlu dimulakan dengan lebih cepat.

“Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor kerana sebelum ini, kita tidak mendapat kebenaran selama 18 bulan tapi selepas perbincangan sebanyak 37 kali, kita dapat persetujuan dengan kerajaan negeri,” katanya.

Menurut Ka Siong, kerajaan Pusat dan Negeri kini senada untuk menyiapkan projek ini mengikut waktu yang dirancang walaupun dianjak ke belakang sedikit.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya langkah kerajaan untuk membaiki ‘kesilapan’ yang dilakukan kerajaan terdahulu dalam tempoh 22 bulan bagi memastikan projek untuk manfaat rakyat dapat diteruskan walau siapa pun yang memerintah.

Ka Siong berkata, dengan kelajuan (ECRL), mereka yang mahu balik ke Kota Bharu akan mengambil masa empat jam berbanding ketika ini mungkin ambil masa tujuh ke lapan jam, atau mungkin 12 jam semasa Aidilfitri.

Related posts

Leave a Comment