Kerugian tipu dalam talian hampir RM3 bilion

KUALA LUMPUR 19 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 89,798 kes penipuan jenayah dalam talian bagi tempoh 2017 hingga Jun 2022 membabitkan nilai kerugian hampir RM3 bilion.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Ismail Mohamed, berkata kes penipuan jenayah dalam talian paling tinggi direkodkan ialah pembelian atas talian iaitu 32,791 kes.

Dalam tempoh sama, sebanyak 42,884 tangkapan dibuat dengan 25,891 daripada dibawa kepada pertuduhan atas kesalahan terbabit.

Beliau menjawab soalan Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) yang mahu Kementerian Dalam Negeri menyatakan tindakan diambil bagi membanteras jenayah komersial membabitkan penipuan dalam talian.

Ismail berkata, kementerian itu juga turut bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meminda undang-undang membabitkan Seksyen 116 Kanun Tata Jenayah, untuk memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk membekukan akaun bank digunakan bagi aktiviti jenayah.

Selain itu cadangan pindaan juga membabitkan Seksyen 424 Kanun Keseksaan bagi peruntukan hukuman terhadap kesalahan pemegang bank akaun itu sendiri yang membenarkan kegunaan pihak ketiga bagi tujuan aktiviti jenayah itu.

Terdahulu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) turut berkongsi pengalaman di mana ibunya yang juga bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) menjadi mangsa penipuan dalam talian membabitkan kerugian sebanyak RM75,000 di akaun Tabung Haji pada Mac lalu.

Related posts

Leave a Comment