1.5 juta isi rumah diberi 10 kit ART

SINGAPURA 19 Julai – Setiap isi rumah di Singapura akan mendapat 10 kit ujian pantas antigen (ART) dalam peti surat mereka mulai semalam, bagi mengharungi satu lagi gelombang jangkitan Covid-19.

Edaran kit ART yang dijangka melibatkan 1.5 juta isi rumah itu merupakan kali ketiga  sejak pandemik Covid-19 bermula yang dijangka mengambil masa dua bulan.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, mengumumkan permulaan pengagihan kit ART tersebut menerusi laman Facebook beliau semalam.

Pengagihan kit ART itu diumumkan sebelum ini oleh Timbalan Perdana Menteri,  Lawrence Wong, selepas melawat salah sebuah pusat vaksinasi mudah alih di Nee Soon Central  bulan lalu.

Sebelum ini kerajaan mengagihkan hampir 25 juta kit ART kepada isi rumah menerusi pengagihan pertama antara Oktober dengan Disember 2020, manakala pengagihan kedua antara Ogos dengan September tahun lalu.

Setiap isi rumah menerima sebanyak 16 kit ART menerusi kedua-dua pengagihan tersebut.

Ong menerusi laman Facebook berkata langkah menguji diri sendiri kini sudah tidak asing lagi dalam kehidupan orang ramai.

“Kalau anda hendak berjumpa dengan warga emas atau orang yang mudah terjejas, uji diri sendiri sebelum keluar.

“Kalau anda mempunyai simptom jangkitan pernafasan akut (ARI) seperti selesema, sakit tekak atau demam, uji diri anda setiap hari kerana hasil yang positif mungkin hanya dapat dilihat beberapa hari selepas mengalami simptom itu.

“Sikap tanggungjawab sosial adalah penting bagi kita mengharungi gelombang sekarang ini,” ujarnya.

Jemaah haji Singapura yang kembali ke tanah air juga diberi kit ART percuma.

(FOTO FB Menteri Kesihatan)

Related posts

Leave a Comment